Monday, December 12, 2005

Mujahadahlah sahabat-sahabatku...innallaha ma'ana...


Berangkatlah kamu sama ada dalam keadaan ringan atau berat, dan berjihadlah kamu dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Itulah yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui 9:41




Mujahadah seorang mujahid... Hassan Al Banna.. dipetik daripada bukunya "Detik-detik Hidupku"

Pada hari perhimpunan itu, saya telah jatuh sakit secara mengejut. Tekak saya berasa sangat sakit. Saya menjadi begitu lemah sekali sehingga saya berbaring di sepanjang perjalanan ke Ismailiah.

Doktor sekolah, iaitu Dr. Muhammad Bik Sadiq berkata kepada saya, ‘Kesihatan awak akan tergugat andainya awak mengembara pada siang hari dan bersyarah pada waktu malam nanti. Dalam keadaan apa sekali pun, awak dilarang dari bersyarah.’ Nasihat doktor itu saya ketepikan dan saya pun terus pergi ke Pusat Ikhwan di Pelabuhan Sa’id dengan keretapi. Saya terpaksa menunaikan solah maghrib cara duduk kerana terlalu lemah. Selepas solah maghrib, satu perasaan ganjil menyelubungi diri saya. Terfikir saya betapa gembiranya para anggota Ikhwan Pelabuhan Sa’id ketika itu. Mereka telah meletakkan harapan yang tinggi kepada perhimpunan itu. Mereka telah menyusun perhimpunan tersebut dengan menghadkan perbelanjaan peribadi mereka sendiri. Mereka juga telah bersusah payah menjemput orang ramai menghadiri perhimpunan tersebut. Kemudian saya bertanya kepada diri saya sendiri, ‘Patutkah saya merosakkan majlis mereka itu dengan mengatakan saya tidak sihat dan tidak boleh bersyarah?’

Saya merasa terharu memikirkan perkara ini dan hal ini telah membuat saya menangis. Saya berkeadaan begitu sehinggalah masuk waktu solah Isyak. Saya terus menangis di hadapan Allah dan berdo’a kepada-Nya agar memberi kekuatan untuk melaksanakan tugas itu. Tiba-tiba saya dapat merasa tenaga saya kian pulih. Saya bersyukur kepada Allah dan menunaikan solah Isyak seperti biasa. Masa untuk menghadiri majlis perhimpunan itu pun tiba. Acara dimulakan dengan pembacaan Al- Quran. Kemudian saya bangun untuk berucap. Apabila saya mula berucap, saya tidak dapat mendengar perkataan-perkataan yang saya ucapkan. Tiba-tiba tenaga saya pun kian bertambah dan akhirnya saya berasa pulih sepenuhnya. Suara saya pun semakin jelas dan kuat sehingga dapat didengar di dalam dan diluar kawasan itu. Waktu itu tidak ada pembesar suara. Suara saya menjadi begitu tajam sehingga saya rasa cemburu kepada diri saya sendiri. Perhimpunan itu pun berakhir dengan penuh kejayaan. Ucapan saya tadi memakan masa lebih dari dua jam. Sakit tadi, yang datang pada setiap tahun, telah berhenti dari berulang melainkan di waktu cuaca yang luar biasa sejuknya atau ketika saya bekerja terlalu lebih. Sesungguhnya ini semua adalah rahmat dan kasih Allah yang Maha Besar; yang merestui usaha-usaha Ikhwanul Muslimin Pelabuhan Sa’id.




Infiruu..!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home