Monday, October 31, 2005

MEKANISMA HATI
DI DALAM PENGHAYATAN SIRAH NABI


Peranan Sirah Nabawiyah adalah sebagai penterjemah praktikal kepada ajaran Islam, juga secara langsung menyerlahkan ketinggian peribadi dan ketokohan Muhammad bin Abdullah SAW sebagai utusan penutup misi Samawi dari Allah. Ia bukan sahaja diterima oleh umat Islam sebagai tuntutan aqidah kepercayaan mereka, malah golongan non-Muslim yang mengkajinya juga akur pada kualiti peribadi dan kepimpinan baginda. Michael H. Hart yang menulis buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History telah meletakkan Rasulullah SAW sebagai orang yang paling berpengaruh di dalam tamadun manusia (Umar al-Khattab di tangga ke-51).

Seandainya begitu sekali kehebatan Muhammad SAW, suatu persoalan besar timbul. Mengapakah seorang insan yang begitu agung biografinya, tidak dapat dihargai sebagai contoh terbaik oleh manusia hari ini? Mengapakah semakin banyak kajian tentang baginda dihasilkan, semakin jauh pula realiti masyarakat daripada meneladaninya? Inilah persoalan yang cuba dijawab melalui artikel penulis kali ini.

Allah SWT menyebut perihal ini di dalam firmanNya melalui surah al-Ahzab ayat 21:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (SAW) contoh teladan (uswah) yang baik bagi kamu. Iaitu bagi mereka yang meletakkan harapnya kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berkeadaan sentiasa mengingatiNya.”

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menggariskan tiga ciri utama mereka yang boleh melihat dan menghargai teladan daripada Rasulullah SAW. Tiga ciri ini amat penting untuk dihalusi kerana ia menentukan bentuk pandangan seseorang itu terhadap Rasulullah SAW. Kaedah menyebut ‘what you see is what you get’ dan ‘who you are determines what you see’. Tidak semua orang yang mendekati Rasulullah SAW dapat melihat apa yang sepatutnya dilihat. Semuanya bergantung kepada kaedah tadi.

Seorang pekerja swasta yang penat, apabila turun ke laut, dia melihat laut sebagai tempat santai. Seorang nelayan yang turun ke laut yang sama, melihat ia sebagai pejabatnya mencari rezeki berupa ikan, sotong dan udang. Manakala seorang jurutera carigali minyak yang pergi ke laut yang sama, tetapi mendapat hasil yang berbeza berupa emas hitam. Mereka bertiga pergi ke tempat yang sama, tetapi berbeza hasilnya, kerana mereka berbeza penglihatan. Tegasnya, ‘what you see is what you get’. Maka amat penting cara memandang itu diperbetulkan. Kerana itu jugalah Allah SWT menerangkan melalui ayat ini apakah kriteria seseorang yang boleh melihat Rasulullah SAW dengan betul.

Sebelum kita terangkan tentang tiga ciri tersebut, mari kita bersama merenung kepada pengertian ‘uswah hasanah’. Di dalam usaha memajukan cara penyampaian Islam hari ini, ramai yang cenderung kepada menterjemahkan ia sebagai ‘idola’. Rasulullah SAW itu adalah idola terbaik kita kerana baginda adalah ‘uswah hasanah’. Akan tetapi mampukan idola memberikan makna yang sama dengan uswah? Sesungguhnya idola ini adalah perkataan Inggeris yang memberikan makna ‘mengagumi seseorang secara membuta tuli dan berlebih-lebihan’ [definisi oleh Princeton University]. Andaikata seseorang itu mengambil Rasulullah SAW sebagai idola, bermakna dia cuba memberikan kefahaman bahawa beliau mengagumi Rasulullah SAW secara membuta tuli dan berlebih-lebihan! Apakah benar begitu?

Sesungguhnya ayat 21 surah al-Ahzab ini diturunkan semasa umat Islam menanggung penderitaan peperangan al-Ahzab (Khandaq). Tekanan yang amat berat itu telah melemahkan fizikal kebanyakan umat Islam. Namun Rasulullah SAW telah memberikan teladan kepimpinan yang terbaik di kalangan pengikutnya. Di dalam keadaan lapar dan mengikat perut dengan batu, Baginda masih komited dan setia mempertahankan agama Allah SWT. Kerana itulah, Allah SWT memerintahkan umat Islam mencontohi Baginda. Baginda adalah uswah dan perkataan uswah itu berasal dari kalimah Arab “at-Ta-assi” yang bermaksud “sesuatu yang memberikan kekuatan”. Oleh yang demikian, kalimah uswah hasanah itu bermaksud, andai kamu mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh, maka kamu akan beroleh kekuatan daripadanya. Dengan itu, amat tidak tepat seandainya kita mengistilahkan Nabi SAW itu sebagai idola.

MENGHARGAI RASULULLAH DARI KACA MATA HAMBA ALLAH

“... iaitulah orang yang meletakkan harapnya kepada Allah” [surah al-Ahzab ayat 21]

Inilah ciri pertama seorang manusia yang boleh menghargai Rasulullah SAW. Meletakkan harap kepada Allah, adalah ciri seorang hamba. Seorang insan perlu merasakan bahawa dirinya hamba andai mahu menghargai Rasulullah SAW. Ini adalah kerana Rasulullah SAW itu adalah juga hamba dan pesuruh bagi Allah. Peribadi, keluarga, kepimpinan, kenegaraan dan ketenteraan yang ada pada Baginda, adalah manifestasi dirinya dan pengikutnya sebagai hamba Allah.

Untuk menjunjung Rasulullah SAW sebagai qudwah seseorang perlu mencintai dan memberi harap kepada Allah terlebih dahulu. Ini adalah kerana, mematuhi ajaran Rasulullah SAW itu adalah tanda cinta seseorang kepada Allah (Ali Imran: 31). Kehidupan Baginda SAW adalah kehidupan hamba. Mana mungkin seorang itu dapat menghargai suri teladan dari seorang Nabi yang hamba andai dirinya terasa seperti tuan di dunia ini, hatinya penuh rasa memiliki, dan jiwanya dikongkong oleh sifat berdikari yang tiada hajat kepada Tuhan.

Lahirnya rasa harap kepada Tuhan, apabila seseorang sedar yang dirinya hamba. Dirinya lemah, tiada upaya, tiada milik dan tiada makna, melainkan semuanya bergantung kepada Tuannya yang juga Tuhannya, iaitu Allah. Manakala, untuk seseorang itu melihat kebesaran Allah tempat dia meletakkan harap, kuncinya adalah pada mengetahui kelemahan diri. Selagi seorang manusia merasakan dirinya amat gagah, bijak, tahu semua dan boleh self-sufficient di bumi Tuhan ni, selagi itulah dia terhijab daripada melihat Allah dengan mata hati.

Mencintai Allah dan RasulNya adalah berkadar terus. Kurangnya ikutan masyarakat terhadap Rasulullah SAW adalah tanda besar manusia semakin kurang cintanya kepada Allah. Manusia yang gagal mencintai Allah adalah manusia yang terlupa dirinya adalah hamba. Dan manusia yang lupa dirinya hamba, adalah manusia yang berlagak tuan di dalam kehidupannya, tidak nampak kelemahan diri dan seterusnya menaja kerosakan di muka bumi.

Berhadapan dengan golongan yang terlupa dirinya hamba, tidak memungkinkan kita untuk banyak berhujah dengan Quran dan Sunnah. Mereka tidak dapat melihat nilainya kerana mereka berhadapan dengan masalah “who you are”. Gagal menganalisa identiti diri, menjadikan mereka bermasalah di dalam “how you see”. Kerana itulah mereka banyak menuntut hak, sedangkan hamba itu lebih ‘memainkan peranan’ berbanding ‘menuntut hak”. Kerana itu jugalah, walaupun Rasulullah SAW itu adalah uswah hasanah, hebat dan mulia, golongan tersebut terhijab dari mengetahuinya, kerana mereka tiada harap kepada Allah, mereka tiada kehambaan kepadaNya.

MENGHARAPKAN GANJARAN DI ALAM AKHIRAT

“... dan orang yang meletakkan harap kepada Hari Akhirat” [surah al-Ahzab ayat 21]

Sudah menjadi tabiat manusia, apabila dirinya memberi, dia ingin untuk menerima. Allah SWT dengan namaNya yang mulia iaitu ar-Rahman dan ar-Rahim, pasti membalas segala usaha yang dilakukan oleh hambaNya.

Namun, keimanan kita kepada Allah menyedarkan diri bahawa kita datang daripadaNya dan kita pasti akan kembali kepadaNya. Kita adalah warga Akhirat yang singgah ke dunia mencari bekal. Kita telah melalui perjalanan di dua alam, dan kita sedang berada di tengah-tengah perjalanan yang panjang dan jauh.

Untuk seseorang itu mampu melihat nilai yang ada pada sebuah perjalanan hidup seperti yang dilakarkan oleh Rasulullah SAW melalui sirahnya, seseorang itu perlu mampu merasa nilai Akhirat. Baginya, ganjaran-ganjaran duniawi adalah hanya bekalan kecil berbentuk keperluan hidup yang sementara. Namun, apa yang lebih penting adalah soal apa yang menguntungkannya di alam Akhirat.

Rasulullah SAW amat bersederhana di dalam mengutip keperluan kehidupannya di dunia kerana hidup baginda adalah berasaskan kepada tujuan hidup. Keperluan ditunaikan sebaiknya, namun yang utama adalah tujuan. Kehidupan peribadi baginda, keluarganya dan masyarakat serta Tamadun Islam yang dibina adalah berkonsepkan letak harap pada alam yang kekal abadi. Andai seorang insan itu mencari nilai-nilai kehidupan dunia, mahu membebankan bahunya memikul keperluan dunia semata, tidak mungkin baginya untuk menghargai kehidupan Akhirat.

Cukup malang bagi manusia yang terhijab dari melihat Akhirat. Jiwanya resah, nafsunya serakah, fikirannya tidak terarah dan hidupnya penuh musibah. Dunia ini tiada keadilan, seorang yang membunuh 100 manusia, akan hanya dihukum bunuh dengan satu kematian. Kita berbuat kebaikan, manusia membalas dengan kejahatan. Kita hidup di dalam suasana yang penuh penindasan, suara kita tidak kedengaran. Mungkin kita lebih dukacita daripada semut yang sekurang-kurangnya keluhan mereka didengari oleh Nabi Sulayman alayhi as-salaam.


Namun bagi yang menilai Akhirat, jiwanya besar, hatinya lapang dan hidupnya terarah. Mereka ini menjadikan dunia sebagai ladang, harapnya adalah pada tuaian di Akhirat. Mereka inilah yang mendapat kekuatan apabila mengambil uswah dari Rasulullah SAW, kerana sistem nilai mereka sejajar dengan baginda.

Alangkan Firaun membuat piramid yang cantik-cantik untuk menyiapkan ‘home’ beliau di alam Akhirat, rugi benar manusia yang berbelanja besar hanya untuk rumahnya di dunia yang bakal ditinggalkan...

BERKEKALAN DI DALAM ZIKRULLAH

“... serta banyak mengingati Allah” [surah al-Ahzab ayat 21]

Ciri ketiga bagi golongan yang boleh menghargai Sirah, adalah kemampuan dirinya untuk berada kekal dalam zikrullah. Ia bukanlah suatu yang mudah kerana Rasulullah SAW sendiri sering melafazkan doa “Wahai Allah, bantulah aku supaya aku boleh sentiasa mengingatiMu, dan berkekalan mensyukuriMu serta senantiasa memperelokkan ibadahku kepadaMu”

Manusia yang memuliakan Rasulullah SAW adalah manusia yang membesarkan Allah. Manusia hanya akan terus menerus membesarkan Allah jika dirinya sentiasa dalam zikrullah. Zikrullah itu bukanlah ertinya melafazkan kalimah Tuhan pada bibir semata-mata kerana itu hanya zikir lisan yang tiada kesan. Sedangkan Allah SWT telah berjanji bahawa “sesungguhnya dengan zikrullah itulah hati menjadi tenang” [surah ar-Ra’d : 28]. Perlulah manusia ingat bahawa zikir yang mendatangkan tenang kepada hati bukan sekadar zikir lisan malah perlu seiringan dengan zikir hati dan zikir perbuatan.

Seandainya manusia bertemu ujian, dan hatinya menjadi resah dengan ujian, maka yakinlah bahawa dirinya akan sentiasa resah. Allah SWT telah menjadikan kehidupan dan kematian itu sebagai ujian, lantas memberikan makna bahawa manusia sentiasa hidup dalam keadaan diuji. Kerana itulah manusia mesti mencari bahagia dan letak bahagia adalah di hati. Untuk memberikan kebahagiaan kepada hati, setiap diri empunya hati mesti berkeadaan banyak mengingati Allah pada hati, lisan dan badan.

Tatkala lisannya menyebut Subhanallah (Maha Suci Allah), hatinya perlu disucikan dari kecelaan supaya dapat merasai kesucian Allah yang dilafazkan. Di dalam masa yang sama, anggota badannya juga perlu melakukan perbuatan-perbuatan yang mensucikan Allah. Dengan gabungan zikir tiga dimensi ini, barulah seseorang itu dikatakan berzikir.

Membaca sirah Nabi SAW akan menemukan kita dengan suatu jalan yang susah dan payah. Jalan Nubuwwah itu adalah jalan yang bermula dengan ketawa ejek manusia, balingan batu yang menumpahkan darah, sepi sendirian tatkala kematian teman hidup dan penyokong dakwah, malah terhumban buang di negeri asing, dipaksa pergi meninggalkan kampung halaman. Tidak mungkin hati boleh memilih untuk mencontohi hidup seperti ini melainkan hati itu perlu memiliki rasa yang sama dengan hati baginda SAW.

Hati baginda tidak pernah duka dengan ujian, tidak pernah derita dengan ejekan. Dirinya cekal menuju Akhirat kerana hatinya sentiasa bertali hayat dengan Tuhan. Kerana itulah baginda ramai ketika sendiri, baginda tenang ketika diuji. Sirah Nabi SAW akan hanya beroleh penghargaan daripada manusia yang hatinya bertaut dengan Tuhan.

TIGA SYARAT MEMPELAJARI SIRAH

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (SAW) contoh teladan (uswah) yang baik bagi kamu. Iaitu bagi mereka yang meletakkan harapnya kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berkeadaan sentiasa mengingatiNya.”

Inilah tiga ciri yang berfungsi membetulkan persoalan “who you are” sebagai asas meluruskan “what you see” di dalam pembacaan Sirah. Bagi mereka yang melihat Nabi SAW dengan pandangan akal, mungkin dirinya hanya beroleh ilmu pengetahuan suluhan kehidupan. Ini dapat dilihat daripada kekaguman Michael H. Hart terhadap kualiti kepimpinan Rasulullah SAW yang memimpin atas nilai ‘pengaruh’ dan bukan bergantung kepada ‘jawatan’ semata.

Namun bagi warga syurga yang dihantar ke dunia, kita mencari bekal untuk kembali ke syurga. Rasulullah SAW perlu dilihat dengan pandangan mata hati yang asasnya adalah meletakkan harap dirinya sebagai hamba kepada Allah, ganjaran berupa kurniaan Akhirat, serta hati yang kukuh tenang kerana bertali hayat dengan Penciptanya.

Semoga bertambah kasih dan sayang kita kepada Baginda SAW...

Sunday, October 02, 2005

Sahabat
Album : Kiasan Naluri
Munsyid : Amar
http://liriknasyid.com

Ingin aku singkap kembali
Kenangan lama agar bersemi
Inginku ulangi kisah manis
Agar terus bersemadi

Ingatlah aku sebagai rakanmu
Kenanglah daku dalam doamu
Begitulah indahnya kisah dahulu
Engkau sebagai temanku

Apabila engkau terjaga
Satukanlah harapanku denganmu
Kerana ianya bakal berpadu
Mimpi si penunggu yang setia
Layarkanlah impian doamu
Sesungguhnya aku masih mengingatimu
Sebagai kawan rakan dan teman
Semoga kita diberkati Allah

Kudoakan kepadamu agar bahagia
Di dunia dan akhirat

Huhu... alangkah syahdunya apb mendengar nasyid nih... apb teringat sahabat-sahabat seperjuangan yg akan kembali ke medan perjuangan sebenar tidak lama lagi.. meninggalkan diriku dengan kenangan2 manis.. namun perjuangan perlu tetap diteruskan... "Begitu indahnya kisah dahulu, engkau sebagai temanku.."... moga antunna tetap tabah hati tak berbelah bagi... "Satukanlah harapanku denganmu..Kerana ianya bakal berpadu."... moga2 kita bertemu di jannah.. insya allah...